Apa Itu Pelaburan Saham?
Pelaburan ditakrifkan sebagai tindakan meletakkan wang atau modal untuk sesuatu usaha dengan jangkaan memperoleh pendapatan atau keuntungan tambahan. Dalam erti kata lain, melabur memperuntukkan wang untuk masa depan, dengan harapan ia akan berkembang dari semasa ke semasa.
Walau bagaimanapun, terdapat risiko kerugian dalam pelaburan saham. Justeru, adalah penting bagi pelabur yang baru ingin belajar melabur, untuk melabur saham dengan broker yang berdaftar, dan melabur dalam pasaran saham yang dikawal selia seperti Bursa Saham Malaysia.
Jenis-jenis Saham
Setelah anda memahami apa itu pelaburan saham, mari kami bincangkan jenis saham yang tersedia untuk anda berdagang di Malaysia.
Saham Mewah
Apa itu saham mewah? Saham mewah adalah saham yang juga dikenali sebagai saham blue chip. Saham-saham ini terdiri daripada syarikat-syarikat yang besar dan mempunyai rekod prestasi yang baik dan yang mencatat peningkatan yang konsisten dari tahun demi tahun. Saham mewah juga antara saham yang mempunyai harga saham yang stabil.
Saham Semasa
Saham semasa pula adalah jenis saham atau syarikat yang mana prestasi dan keuntungannya sentiasa mengikuti keadaan ekonomi semasa. Juga dikenali sebagai saham berkitar, kebiasaannya, saham jenis ini adalah terdiri daripada syarikat automotif, hartanah atau sektor pembinaan.
Saham Jangka Masa Panjang
Bagi pelabur yang inginkan pelaburan yang selamat namun tidak kisah akan masa yang diambil bagi mendapat pulangan, saham jangka masa panjang adalah jenis pelaburan yang sesuai bagi anda. Ini adalah kerana, saham jangka masa panjang adalah yang mempunyai dividen setiap tahun dan rata-rata terdiri daripada pelaburan REIT (Real Estate Investment Trust).
Saham Spekulatif
Juga dikenali sebagai penny stock, saham spekulatif pula adalah jenis saham yang tidak mempunyai arah yang teratur. Jenis saham ini kebiaasaannya memberikan pelabur risiko yang tinggi namun pulangan juga yang tinggi. Saham jenis ini rata-rata dijual dengan harga yang rendah, dan akan melonjak naik sekiranya terdapat projek besar yang sedang berlaku. Pelabur baru adalah tidak digalakkan untuk melabur dalam saham jenis ini kerana risiko kerugian yang tinggi.
Saham Bertahan
Tidak seperti saham semasa yang bergerak seiring dengan keadaan ekonomi, saham bertahan adalah jenis pelaburan yang selamat kerana ianya tidak terjejas dengan keadaan ekonomi. Jenis saham bertahan adalah dimana syarikat tetap bergerak ke arah keuntungan walaupun ekonomi sedang meleset. Antara syarikat yang mempunyai saham bertahan ialah pembekal elektrik seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), pembekal makanan dan minuman seperti Nestle atau Dutch Lady.
Melabur Saham di Bursa Malaysia: Hukumnya Halal atau Haram?
Anda pastinya tertanya-tanya, apakah hukum melabur saham? Disini, kami ingin mengesakan bahawa pelaburan saham adalah harus. Namun, anda harus berhati-hati agar tidak melabur dalam syarikat-syarikat yang dikenal pasti sebagai syarikat yang tidak mengikut pematuhan syariah, antaranya seperti syarikat perjudian, syarikat yang menghasilkan atau mengendalikan minuman keras dan sebagainya.
Tambahan lagi, pada Mei 2021, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengisytiharkan bahawa terdapat ratusan saham atau syarikat yang dikenalpasti di Bursa Malaysia sebagai patuh syariah.
Lebih memudahkan lagi, Bursa Malaysia kini menyediakan info tambahan bagi pelabur yang melabur dengan platform tersebut. Pelabur kini boleh mengenalpasti sama ada syarikat tersebut patuh syariah dengan mudah di platform trading dengan hanya meneliti tanda bulat kecil seperti rajah di bawah.
Pelaburan Saham vs Forex
Bagi pelabur baru, anda harus faham bahawa pelaburan saham adalah tidak sama dengan Forex trading. Mari kita lihat apa itu pelaburan Forex dengan lebih mendalam, dan apa yang membezakan antara mereka berdua.
Forex trading, ataupun pasaran pertukaran asing ialah pasaran kewangan terbesar di dunia, dengan jumlah pasangan mata wang utama, kecil dan eksotik untuk didagangkan. Pedagang forex boleh menggunakan pip untuk memantau pergerakan harga dalam dagangan forex untuk menentukan sama ada pasaran bergerak naik atau turun. Pasangan mata wang utama yang paling popular untuk dagangan forex termasuk EUR/USD, GBP/USD dan USD/JPY, antara lain.
Perbezaan Antara Forex dan Saham
Waktu Dagangan Pasaran
Waktu dagangan berbeza antara pasaran forex dan pasaran saham. Pasaran forex dibuka 24 jam sehari, 5 hari seminggu, disebabkan pertindihan antara zon waktu. Ini adalah salah satu kelebihan dagangan forex berbanding saham. Sebaliknya, terdapat jadual harian yang ditetapkan untuk waktu dagangan pasaran saham, bergantung pada wilayah dan bursa tertentu.
Kemeruapan dan Kecairan
Topik popular untuk perdebatan forex vs saham merujuk kepada turun naik pasaran. Ini mengukur turun naik harga dalam pasaran yang boleh membantu pedagang untuk memperoleh keuntungan jika perdagangan dilaksanakan dengan berkesan, atau kerugian jika perdagangan tidak berjaya. Peniaga forex khususnya sering mencari kecairan yang tinggi dalam pasaran, kerana ini bermakna aset boleh dibeli dan dijual dengan cepat tanpa mempunyai banyak kesan ke atas harganya. Oleh itu, kemungkinan turun naik pasaran yang tinggi adalah lebih bermanfaat untuk pedagang jangka pendek.
Sebaliknya, peniaga jangka panjang yang lebih suka kaedah beli dan tahan mungkin kurang selesa dalam persekitaran yang tidak menentu. Ini berkaitan terutamanya dengan peniaga saham. Memandangkan saham mewah tertentu terkenal dengan kestabilannya dalam pasaran saham, peniaga lebih cenderung untuk membuka kedudukan dengan potensi keuntungan dalam jangka panjang.
Kadar Margin
Secara amnya, pasaran forex menawarkan kadar margin yang jauh lebih rendah, bermula pada sekitar 3.3% atau leverage bersamaan 20:1. Sebaliknya, pasaran saham memberikan lebih sedikit risiko kehilangan modal dengan menawarkan kadar margin daripada 20% atau nisbah leverage 5:1. Sememangnya, ini sepatutnya mengelakkan peniaga daripada kerugian yang lebih besar jika dagangan mereka tidak berjaya.
Cara Melabur Saham
Pilih Syarikat Broker
Langkah pertama sebelum anda melabur adalah dengan memilih syarikat broker yang anda ingin berurusan. Adalah penting untuk anda memilih broker yang terbaik dan dikawal baik dan berdaftar. Selepas itu, anda boleh teruskan dengan membuka akaun trading dan akaun CDS.
Masukkan Wang ke Dalam Akaun Trading
Setelah memilih broker pilihan anda, dan setelah selesai proses pembukaan akaun trading dan CDS, anda boleh terus untuk memasukkan wang ke dalam akaun trading tersebut. Sekiranya anda masih tidak yakin untuk mula berdagang, pilih broker yang mempunyai akaun demo.
Anda mesti tertanya tanya, berapakah modal yang perlu anda sediakan untuk melabur? Modal untuk mula melabur adalah serendah RM100-RM500 sahaja. Ini kerana, pembelian saham memerlukan anda untuk membeli sekurang-kurangnya 1 lot, dimana bersamaan dengan 100 unit sahaja.
Jual Beli Saham
Seterusnya, anda boleh mula untuk membeli dan menjual saham bagi mendapatkan keuntungan.
Senarai Buku Yang Bagus Dibaca untuk Pelaburan Saham
Terdapat pelbagai buku rujukan saham yang sedia ada bagi pelabur baru yang ingin mencari rujukan yang bagus dalam pelaburan saham. Di bawah, kami senaraikan beberapa buku rujukan saham dalam yang boleh anda baca sebelum mula berdagang.
- Mudahnya Pelaburan Saham: 101 Sebab Mengapa Perlu Melabur Dalam Pasaran Saham, penulis: Mohd Asri Ahmad & Roslinah Laikoi
- Kenali Asas Candlestick, penulis: Mohd Asri Ahmad & Adibah Musa
- Petua Pelabur Tersohor, penulis: Razali Razman
- The Intelligent Investor, penulis: Benjamin Graham
- The Little Book of Common Sense Investing, penulis: John C. Bogle
Melabur Saham Dengan Selamat dan Bijak
Jadilah pelabur saham yang bijak bagi memastikan aktiviti pelaburan saham adalah tidak merugikan anda. Sebelum melabur, lengkapkan diri anda dengan seberapa banyak pengetahuan perdagangan yang boleh. Selain itu, pemilihan broker saham juga adalah penting bagi pelaburan saham yang efektif dan menguntungkan. Diharap artikel ini dapat memberi anda sedikit sebanyak pengetahuan yang diperlukan bagi menyediakan anda sebelum berkecimpung dalam aktiviti-aktiviti perdagangan dan pelaburan saham pada masa akan datang.